Site icon TUHAU BAMBANGAN

LELAKI BERDEPAN PERTUDUHAN BERI SUAPAN RASUAH KEPADA PEGAWAI POLIS

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu di sini hari ini atas tuduhan memberi suapan kepada pegawai kerajaan sebanyak RM650 untuk tujuan mengelakkan tindakan prinsipal dikenakan atas kesalahan memandu tanpa lesen pada 19 Jun tahun lepas.

Bagaimanapun tertuduh, Ghani Ahmad, 39 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan tersebut, tertuduh yang bekerja sendiri telah memberi suapan wang tunai berjumlah RM650 kepada Pegawai Polis, Daniel Dominic berpangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

Suapan itu, dijadikan sebagai dorongan kepada Daniel untuk tidak melakukan satu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu, tidak mengambil tindakan ke atas tertuduh kerana memandu kenderaaan motorkar tanpa memiliki lesen memandu.

Ia juga sebagai dorongan untuk membebaskan Malali Juani atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar deposit bagi ikat jamin dikurangkan kepada RM2,000 kerana hanya bekerja sendiri dan mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dan deposit RM2,000 dengan seorang penjamin tempatan beserta syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu setiap dua bulan sekali.

Mahkamah seterusnya memutuskan 19 April ini bagi pengurusan kes.

Exit mobile version