Site icon TUHAU BAMBANGAN

PROJEK LOJI RAWATAN AIR TELIBONG 2 TERUS DIPANTAU DIPASTIKAN SIAP IKUT TEMPOH

KOTA KINABALU: Pembinaan projek Loji Rawatan Air Telibong II terus dipantai bagi memastikan pelaksanaan projek tersebut siap mengikut tempoh yang ditetapkan, iaitu selewat-lewatnya tahun depan.

Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud berkata, ia bagi memastikan isu masalah bekalan air bersih yang berlaku khususnya di kawasan Sepanggar dapat diatasi segera.

“Kita akan memantau pelaksanaan projek LRA Telibong II ini yang dijangka siap pada tahun hadapan.

“Manakala bagi isu berkaitan terutama untuk mendapatkan peruntukan lebihan yang diperlukan diperingkat Persekutuan, saya sendiri akan cuba usaha minta kepada Perdana Menteri agar perkara ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Sesi TownHall Parlimen Sepanggar di Institusi Latihan Perindustrian Kota Kinabalu pada Sabtu.

Selain itu, pemantauan berkonsisten terhadap paras air turut dilaksanakan oleh pihak Jabatan Air bagi penyelesaian jangka pendek terhadap isu tersebut.

“Kita minta supaya paras air terus dipantau, jangan sampai kosong. Ini kerana saya mendapati, bila timbul isu air dan bila kita maklumkan kepada Jabatan Air, bekalan air kemudiannya akan ada.

“Jadi, maknanya kalau kita dapat pantau level paras air ini, jangan sampai kosong dan kita isi, saya fikir ini boleh jadi solusi dalam jangka masa pendek,” jelasnya.

Sementara itu, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, pihaknya turut membawa isu berkenaan diperingkat parlimen bagi tujuan penyelesaian jangka panjang termasuk permohonan dana.

“Sebenarnya Ketua Menteri sudah menulis surat kepada Perdana Menteri untuk membantu dan sebenarnya apa yang kita perlu adalah empangan yang baharu.

“Bagaimanapun ianya memerlukan dana yang besar dan saya difahamkan lebih RM3 bilion untuk tujuan itu. Namun itu hanya untuk Kota Kinabalu dan memakan masa yang lama sehingga 20 tahun.

“Kita kena akur, jika tiada empangan baharu ini, isu seumpama ini akan terus berlarutan,” tambahnya lagi.

Exit mobile version