Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lebih RM16 juta peruntukan untuk program pembangunan kepimpinan belia di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah telah memperuntukkan sejumlah RM 16.42 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia bagi melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.

Jelasnya, sejak tahun 2020 pelbagai inisiaitif baharu telah diperkenalkan kepada golongan belia di negeri ini.

“Dalam bidang pendidikan, kerajaan telah melaksanakan beberapa program termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang menyasarkan para pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Insiatif lain ialah Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sabah (BAGUS), Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (BISTARI) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA)”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Bicara Pemimpin Muda Bersama Ketua Menteri sempena sambutan peringatan Hari Antidadah Tahun 2023 Peringkat Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu pada Isnin.

Sementara itu, Hajiji berkata, dalam Belanjawan 2023 Sabah, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM97.5 juta bagi pembangunan belia dan sukan di negeri itu.

“Pembangunan modal insan tidak hanya kepada potensi belia semata-mata. Saya amat mengambil berat akan pelan pembangunan belia berisiko terutamanya dalam isu penagihan dadah.

“Saya mengambil maklum mengenai pemerkasaan program kesedaran awam mengenai salah guna dadah di kalangan belia. Saya percaya Majlis Belia Sabah (MBS) dan badan-badan gabungannya mampu menjadi faktor pelindung kepada belia-belia berisiko”, katanya.

Serentak itu, Hajiji meletakkan harapan tinggi kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan MBS untuk bergerak bersama dalam memastikan program pendidikan pencegahan dadah ini dapat dilaksanakan di kawasan berisiko tinggi.

Exit mobile version