Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pertimbangkan cadangan pembinaan kompleks perumahan bagi mualaf kurang bernasib baik – Ruslan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu mempertimbangkan pembinaan kompleks perumahan untuk mualaf yang kurang bernasib baik di Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, ramai mualaf yang terpaksa bergantung kepada pertubuhan kebajikan seperti Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita (SAHABAT) untuk menyediakan rumah.

Antara puncanya adalah kerana sebahagian keluarga mereka tidak dapat menerima pertukaran mereka kepada agama lain, menyebabkan mereka disingkirkan dan tiada tempat tinggal.

Justeru itu, Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan mencadangkan pembinaan kompleks perumahan lengkap dengan kemudahan yang diperlukan untuk membantu golongan mualaf di negeri itu.

“Ini hanyalah pendapat peribadi saya untuk memastikan kebajikan mereka diambil. Kadang-kadang bukan mudah untuk mereka kembali ke pangkuan keluarga selepas memeluk Islam, jadi saya akan lakukan apa sahaja untuk meringankan beban mereka.

“Saya akan cuba membawa perkara ini kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kerana beliau seorang yang mengutamakan kebajikan bukan sahaja rakyat Sabah tetapi rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi SAHABAT di Kota Kinabalu.

Ruslan pada masa sama, memuji usaha persatuan yang memainkan peranan luar biasa dalam membimbing saudara baharu mereka supaya tidak tersasar dari landasan yang betul.

Beliau turut memuji usaha mereka memastikan golongan mualaf tidak diketepikan akibat situasi malang dengan bukan sahaja menyediakan tempat tinggal tetapi juga bantuan makanan serta mengadakan seminar pendidikan.

Sementara itu, presiden SAHABAT, Johari Buning Abdullah menyetujui cadangan pembinaan kompleks bangunan yang bukan sahaja dijadikan sebagai kawasan perumahan, tetapi juga sebagai tempat pendidikan nanti.

“Kami memang bercita-cita untuk mendapatkan sebuah kompleks mualaf khusus kepada saudara baru sebagai tempat tinggal dan tempat menuntut ilmu.

“Jadi tidak perlulah kami meminjam mana-mana sekolah, kerana kalau meminjam sekolah orang, bila masuk musim peperiksaan kami terpaksa rehat dan tangguh pengajian kerana sekolah digunakan.

“Jadi, kalau nanti kerajaan negeri bagi bangunan seperti ini mestilah kami amat bersyukur dan terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri dan dapatlah kami menyelesaikan isu-isu saudara baru di Sabah ini,” jelasnya.

Tambah Johari, ketika ini pihaknya terpaksa menumpang sekolah lain bagi proses pengajian selain menyewa rumah bagi penempatan sementara golongan mualaf yang menelan kos sangat tinggi.

Exit mobile version