KOTA KINABALU: Pengumuman oleh Perdana Menteri untuk menaik taraf 400 buah klinik daif dan 380 buah sekolah daif seluruh negara mendapat sambutan cukup positif.
Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, sokongan penuh diberikan terhadap langkah kerajaan yang meletakkan keutamaan Belanjawan 2023 kepada aspek pendidikan yang mendapat peruntukan paling besar, iaitu sebanyak RM55 bilion dan diikuti oleh kesihatan sebanyak RM36 bilion.
Jelasnya, ia mengharapkan agar Sabah khususnya kawasan pedalaman diberi keutamaan.
“Justeru saya berharap agar Sabah khususnya kawasan pedalaman seperti Parlimen Pensiangan akan diberi keutamaan dan dipercepatkan pelaksanaannya untuk menyelesaikan masalah kemudahan kesihatan dan pendidikan yang dalam keadaan daif,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Arthur yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, ia menyokong segala inisiatif Belanjawan 2023, terutama dalam usaha membantu mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat khusus golongan B40.
“Inisiatif-inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang ditambah baik, kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 dan Jualan Rahmah akan dapat membantu meringankan beban yang ditanggung golongan B40 terutamanya di kawasan pedalaman.
“Sehubungan itu, saya menyokong sasaran yang ditetapkan oleh YAB Perdana Menteri untuk menoktahkan miskin tegar.
“Negeri Sabah mempunyai jumlah Isi Rumah yang berstatus miskin tegar yang agak besar dan saya mengharapkan agar Sabah diberi keutamaan dalam pelaksanaan usaha ini melalui program yang dijenamakan semula sebagai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR),” jelasnya.
Selain itu, peruntukan RM1 bilion untuk membangunkan kawasan bersempadanan seperti Kalimantan, Indonesia termasuk Pensiangan akan memberi limpahan ekonomi hasil daripada pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan.
Tambah Arthur, peruntukan RM50 juta bagi tujuan baik pulih rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara adalah sejajar dengan semangat Malaysia Madani sekali gus memberi manfaat berlimpah kepada semua agama dan kaum di negara ini.