Site icon TUHAU BAMBANGAN

KASTAM Sabah rampas minuman keras, beras seludup bernilai lebih RM 500,000

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas tiga buah kontena berisi minuman keras dan beras yang disyaki cuba diseludup masuk ke dalam negara dengan anggaran nilai RM536,046 termasuk duti dan cukai Pelabuhan Sepanggar.

Ketiga-tiga kontena yang dibawa masuk dari luar negara itu diisytiharkan sebagai barangan lain sebelum berjaya dikesan hasil penilaian risiko dan imej mesin pengimbas.

Mohd Nasir (Tengah) menunjukkan minuman keras yang cuba diseludup ke dalam negara melalui Pelabuhan Sepanggar

Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman, rampasan pertama dilakukan pada 22 Februari lalu sekitar 9.15 pagi melibatkan sebuah kontena yang membawa lebih 20 ribu liter minuman keras jenis bir.

“Pasukan serbuan terdiri daripada anggota di bawah Cawangan Siasatan Khas, Cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar dan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu telah membuat penahanan terhadap sebuah kontena disyaki berisi minuman keras yang cuba diseludup masuk melalui Pelabuhan Sepanggar.

“Hasil pemeriksaan awal terhadap kontena yang ditahan, pasukan serbuan kastam telah menjumpai sebuah kontena dianggarkan mengandungi sejumlah 23,520 liter minuman keras jenis bir dengan anggaran nilai harga RM85,200 dan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM 346,500,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Nasir (Kanan) menunjukkan beras yang cuba diseludup ke dalam negara melalui Pelabuhan Sepanggar

Rampasan kedua pula dilakukan pada hari yang sama sekitar jam 9.30 pagi apabila dua kontena disyaki berisi beras.

“Hasil pemeriksaan awal terhadap kontena-kontena yang ditahan, pasukanserbuan kastam telah menjumpai sebuah kontena dianggarkan mengandungi sejumlah 20,500 kilogram (kg) beras dengan anggaran nilai harga RM 37,500 dan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM20,250.

“Manakala sebuah lagi kontena yang dijumpai dianggarkan mengandungi sejumlah 20,500 kg beras pulut disyaki barang larangan dengananggaran nilai harga RM 35,300 dan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM 11,296.00,” katanya.

Tambah Mohd Nasir, modus operandi bagi kedua-dua kes tersebut adalah membuat pengikraran palsu dengan mengikrar dagangan import sebagai barangan lain seperti kacang soya dan kacang hijau bagi tujuan penyeludupan sekali gus mengaburi mata pihak berkuasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) dan 52 Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Exit mobile version