Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lima ADUN UMNO Sabah keluar parti, sertai Gagasan Rakyat

KOTA KINABALU: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO bertindak keluar daripada parti mengumumkan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Mereka terdiri daripada ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob, Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Arshad Bistari (Tempasuk), dan Datuk Hamild Hamid Awang (Balung).

Selain mereka, tiga lagi bekas ADUN Warisan masing-masing Mohammad Mohamarin (Banggi); Chong Chen Bin (Tanjong Kapor); serta Norazlina Arif (Kunak) turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat.

Manakala, seorang ADUN dari Parti Kesejahteraan dan Demokrasi (KDM), Datuk Juil Nuatim (Limbahau) mengumumkan menyokong Hajiji dan kemudian akan menyertai Gagasan Rakyat.

Ketika mengumumkan perkara itu di Kota Kinabalu, Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah berkata, tindakan mereka keluar parti itu dibuat kerana mengambil kira hala tuju politik selain perlunya sebuah kerajaan negeri yang kuat dan stabil, bersatu padu untuk mencapai pembangunnan serta kemajuan negeri.

“Sedar bahawa pemimpin-pemimpin Sabah perlu bersatu di bawah satu parti tempatan untuk terus memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah dan melaksanakan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Selain itu mereka menginsafi bahawa perpecahan dan sengketa berpanjangan telah membantutkan ekonomi negeri Sabah dan percaya kestabilan politik adalah kunci utama keyakinan pelabur tempatan dan luar untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negeri,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu pada Selasa.

Tambah Yusof, beliau bersama sembilan lagi ADUN dan pemimpin dari berbagai latar belakang turut mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan yang diterajui beliau.

“Kami memberi sokongan sebulat suara kepada Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah,” tegasnya.

Exit mobile version