Site icon TUHAU BAMBANGAN

Hajiji kini Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor secara rasmi mengambil alih tampuk pemerintahan kepimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) susulan Mesyuarat Agung Khas (EGM) parti itu hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, dengan langkah itu semua ahli kini mempunyai wadah politik yang 100 peratus tempatan dalam meneruskan perjuangan mereka kepada rakyat dan negeri itu.

“Dua ciri utama Gagasan Rakyat yang menjadi faktor penarik saya dan rakan-rakan untuk bersama-sama dalam parti ini ialah parti berbilang kaum yang membawa citra inklusiviti dan parti suara anak Sabah yang mengangkat citra perjuangan tempatan.

“Ini juga faktor yang meyakinkan rakan-rakan dalam GRS untuk menerima segera Gagasan Rakyat sebagai rakan komponen terbaharu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Khas (EGM) Gagasan Rakyat di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu hari ini.

Tambah Hajiji, mereka (parti komponen GRS) sudah lama menyatakan hasrat agar GRS menjadi platform tempatan dalam erti kata sebenar, iaitu semua rakan kongsi menjadi parti tempatan.

“Sekarang kita 100 peratus tempatan,” katanya.

Selain itu, Hajiji berkata agenda Gagasan Rakyat juga selari dengan empat tonggak perjuangan GRS – Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu).

Hajiji berkata, beliau akan menerangkan dengan lebih terperinci hala tuju Gagasan Rakyat sempena pelancaran parti itu pada 2 Mac ini.

Gagasan Rakyat akan menubuhkan struktur organisasi parti di semua 73 DUN termasuk pembentukan sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis.

Mesyuarat agung tahunan cawangan dan bahagian masing-masing telah dijadualkan pada Julai dan September, dengan Kongres Tahunan pada bulan November.

Exit mobile version