Site icon TUHAU BAMBANGAN

Beri tumpuan utama kepada pembangunan rakyat – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru agar semua pihak terus menjalankan tugas sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, terutamanya kepada rakyat.

Tegas beliau, dalam tempoh ini, tumpuan utama seharusnya diberikan terhadap perpaduan dan pembangunan rakyat di negeri ini.

“Kita teruskan kerja kita sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat kerana kita mendapat kepercayaan, semua tahu keadaan kerajaan kita sekarang ini.

“Oleh itu, saya berharap mereka yang masih lagi mempunyai niat yang lain, mesti memberikan fokus kepada kebaikan negeri, perpaduan, dan pembangunan negeri serta rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Kenderaan kepada 21 Pejabat Kawasan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), di Menara Kinabalu hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ditanya sekiranya ada perbincangan GRS-UMNO, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Manakala, ketika ditanya mengenai status Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dari Barisan Nasional (BN) atau UMNO, Hajiji berkata, perkara itu akan diselesaikan kemudian.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata, kini adalah tempoh bertenang untuk semua pihak mencari titik persamaan dan memahami perbezaan antara satu sama lain bagi mencari jalan penyelesaian kemelut politik di Sabah. – Tuhau Bambangan

Exit mobile version