Site icon TUHAU BAMBANGAN

Strategi GRS dan sokongan PH kekalkan Hajiji sebagai Ketua Menteri – Madius

PENAMPANG: Kejayaan Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Menteri adalah hasil dari strategi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta mendapat sokongan dari Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam menyelesaikan pergolakan politik di negeri ini.

Ahli Majlis Tertinggi Presiden PH, Datuk Seri Madius Tangau berkata, ia merupakan kejayaan Hajiji mengekalkan kedudukan selepas kehilangan majoriti apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menarik sokongan terhadapnya.

“Itu satu kejayaan bagi dialah (Hajiji) saya fikir, sebab pada mulanya kita sudah nampak seolah-olah dia sudah kehilangan majoriti.

“Tetapi, dia dapat lima sokongan dari UMNO dan saya ingat itu adalah strategi dan PH pun telah menjadi penentu.

“Jadi, bukan saja apa yang dia buat, tetapi juga dari keputusan yang dibuat oleh pihak-pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Persidangan Perwakilan Tritahunan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO) di Dewan Kebudayaan Penampang hari ini.

Pada masa sama, Madius yang juga Presiden Kehormat turut menyifatkan tindakan Hajii wajar dalam mengekalkan kerajaan negeri di bawah pimpinannya.

Jelasnya, tindakan PH Sabah untuk terus menyokong Hajiji adalah balasan kepada sokongan Hajiji terhadap Datuk Seri Anwar Ibarhim (Pengerusi PH) sebagai Perdana Menteri Malaysia yang sekali gus membawa kepada kestabilan politik negara.

Sementara itu, Madius sekali lagi menegaskan bahawa PH dan UPKO kekal dengan pendirian mereka untuk tidak menyokong usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada yang dilaksanakan melalui pintu belakang.

Exit mobile version