Site icon TUHAU BAMBANGAN

‘Game still on’ kata Bung Moktar selepas digugurkan dari Kabinet

KOTA KINABALU: UMNO Sabah tidak mengiktiraf pelantikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili partinya yang membarisi Kabinet baharu negeri Sabah selepas rombakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mereka ialah, Datuk Shahelmey Yahya (ADUN Tanjung Keramat) yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangakap Menteri Kerja Raya bersama Datuk James Ratib (ADUN Sugut) yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kebajikan Rakyat Sabah.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah tidak mencadangkan dua ADUN itu untuk dilantik sebagai anggota Kabinet di bawah pimpinan Hajiji.

“UMNO secara konsisten enggan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Hajiji tidak boleh mendakwa melantik mereka mewakili UMNO Barisan Nasional (BN) melainkan mereka dilantik atas kapasiti peribadi.

“Parti akan mengkaji semula tindakan mereka yang menipu UMNO…ini akan dibincangkan dengan presiden parti (Datuk Seri Zahid Hamidi),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bung Moktar yang juga ADUN Lamag itu mengulas mengenai senarai Kabinet Sabah yang mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu dalam rombakan pada Rabu.

Barisan Kabinet baharu itu menyaksikan dua wakil UMNO yang menyokong Hajiji, iaitu Shahelmey dan James, di dalamnya selain dua wakil dari Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Pada masa sama, Bung serta merta digugurkan daripada jawatan yang disandang oleh Shahelmey kini.

Sementara itu, Bung turut menyifatkan pelantikan itu telah mengabaikan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan kerajaan perpaduan di negeri ini.

“Perlu diingat pembentukan kerajaan perpaduan, BN juga membantu dan perkara ini perlu dilihat oleh Ketua Menteri,” katanya sambil menambah kemelut politik Sabah masih belum berakhir dengan pelantikan anggota Kabinet baharu.

“Game still on,” tegasnya dengan mengulangi kenyataannya sebelum ini ketika Hajiji mengumumkan beliua mendapat sokongan majoriti dari 44 ADUN.

Dalam perkembangan sama, Bung mengingatkan Hajiji supaya berlaku adil kepada rakan-rakan Kabinet tanpa campur tangan langsung dalam pentadbiran kementerian masing-masing.

Tambahnya, UMNO Sabah sedia menjadi pembangkang di DUN berikutan situasi politik di negeri ini.

Exit mobile version