SHAH ALAM: Tiada cukai baharu diperkenalkan atau pengenalan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam usaha meningkatkan pendapatan kerajaan terutama ketika berdepan cabaran ekonomi global dan pasca Covid-19.
Sebaliknya, memperkemas kaedah kutipan cukai sedia ada perlu dilakukan serta mengekang jenayah yang boleh menyebabkan pendapatan negara terjejas.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pendapatan kerajaan perlu ditambah dan dalam masa sama mengurangkan hutang kerajaan, namun tidak dengan mengenakan cukai baharu.
“Usaha-usaha ke arah itu sedang dibuat saya ambil contoh kecil, misalnya jika kita boleh mengurangkan keterisian dari segi penyeludupan. Ada yang menyebut pelarian cukai daripada rokok ini kira-kira RM5 bilion.
“Jadi kalau kita mengetatkan segala perkara yang berhubung pelarian cukai rokok, penyeludupan rokok maka tanpa sebarang segala cukai baharu, kerajaan boleh mendapat pertambahan sebanyak RM3 bilion hingga RM5 bilion,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Akauntan Nasional 3.0 pada Rabu.
Tambah beliau, selain penguatkuasaan oleh Jabatan Kastam Diaraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu mainkan peranan untuk laksanakan perundingan dengan sektor swasta bagi perkasakan cukai sedia ada.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan menegaskan tiada mesyuarat berkaitan GST dalam kerajaan.
Namun tidak menolak jika ada pembaharuan terhadap dasar cukai yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari nanti.
“Saya tidak boleh kata begitu (perancangan cukai baharu) sebab bajet sedang disiapkan dan hari ini baru 11 Januari, ada sebulan lebih lagi sebelum bajet. Jadi saya tidak boleh menyebut dan nyatakan tidak ada itu dan ini (cukai baharu).
“Jadi semuanya sedang disiapkan dalam tempoh ini sehinggalah pada Jumaat petang itu barulah siap. Jadi hendak kata tidak ada itu dan ini tidak boleh sebut,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau juga tidak menolak bahawa GST masih lagi cukai terbaik yang dilaksanakan di 170 negara seluruh dunia.
Terdahulu, Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), Suhaimi Ilias berkata, pihaknya menjangkakan kerajaan tidak akan memperkenalkan semula GST dalam Bajet 2023 yang akan dibentang pada Februari ini.
Sumber: UM