Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kami sedia buktikan Hajiji masih dapat sokongan majoriti ADUN Sabah – Masidi

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia membuktikan keabsahan sokongan daripada majoriti besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun berkata, Hajiji telah menerima perakuan dan sokongan majoriti ADUN Sabah termasuk kesemua tujuh ADUN dari parti Pakatan Harapan.

“Sebagai makluman, Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah telah menerima perakuan dan sokongan daripada majoriti besar ADUN Sabah untuk terus memimpin Kerajaan Negeri yang ada sekarang.

“Mereka termasuk kesemua tujuh ADUN Pakatan Harapan Sabah,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Masidi, pihaknya bersedia membuktikan keabsahan sokongan tersebut kepada pihak yang berwajib sekiranya perlu.

Masidi berkata demikian atas susulan dari khabar angin yang mengatakan bahawa ada pihak-pihak tertentu yang mendakwa telah memperoleh sokongan lebih separuh daripada ADUN Sabah untuk membolehkan kumpulan ini menubuhkan sebuah Kerajaan Negeri yang baharu.

Pada masa sama Masidi berkata, suasana dan kdudukan politik di Sabah kekal stabil dan selamat untuk urusan perniagaan dan pelaburan.

Exit mobile version