Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah, Sarawak urus projek pembangunan Persekutuan di bawah RM50 juta

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk menetapkan mana-mana projek dibawah RM50 juta diserahkan sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak untuk menentukan pelaksanaan di kedua-dua negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, keputusan itu bagi membolehkan pelaksanaan beberapa projek tertangguh di kedua negeri itu dapat dilaksanakan tanpa merujuk ke Persekutuan.

“Saya melihat ada beberapa perkara tertangguh antaranya, keputusan untuk menyegerakan pelaksanaan projek meskipun ada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak tetapi keputusan itu terlalu banyak di Putrajaya.

“Walaupun peruntukan besar diberikan tetapi peruntukan itu tidak dapat dipenuhi kerana birokrasi. Jadi kita putuskan dan Kementerian Kewangan juga berseuju untuk menetapkan mana-mana projek di bawah RM50 juta itu diserahkan sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu membolehkan Sabah dan Sarawak membuat keputusan segera tanpa dilengahkan tapi perlulah mematuhi peraturan sedia ada termasuk kewangan.

Pada masa sama, Anwar berkata, beliau akan mempengerusikan Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan akan bertemu dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Berhubung dengan Majlis Tindakan MA63, saya akan mempengerusikannya dan akan mengadakan perjumpaan selewat-lewatnya akhir bulan ini.

“Kemungkinan besar perjumpaan ini akan diadakan di Kuching, selain turut dihadiri oleh Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar turut memaklumkan mengenai pemberian geran khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan antara Sabah dan Sarawak dengan Persekutuan perlu dikaji setiap lima tahun.

Anwar juga menyatakan bahawa Jemaah Menteri turut bersetuju Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang tertangguh di Sabah akan segera dilaksanakan.

Sumber: SM

Exit mobile version