Site icon TUHAU BAMBANGAN

Isu pengembara luar negara akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet esok – Dr Zaliha

SEPANG: Sebarang keputusan berkaitan isu ketibaan pengembara luar negara khususnya dari China perlu dibincangkan secara teliti dan akan diputuskan di peringkat Kabinet.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, keputusan itu perlu dibuat secara bersama dengan mengambil nasihat dari pelbagai kementerian selain dari Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, kerana ianya melibatkan pelbagai aspek seperti ekonomi, pelancongan dan kesejahteraan serta keselamatan rakyat.

Jelasnya, beliau telah berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi sesi taklimat berkaitan isu tersebut yang akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet esok.

“Esok kita akan bentangkan fakta yang kita ada dan seabrang kemungkinan berkaitan. InsyaAllah kita harap ada satu keputusan terbaik yang mengimbangi dari sudut sains dan data serta persepsi masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada media selepas mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 pada Selasa.

Peningkatan ketara kes Covid-19 di China mengundang kerisauan banyak pihak termasuk rakyat Malaysia yang mahu kerajaan ambil langkah kawalan terbaik dalam usaha menangani kes ini merebak ke dalam negara.

Dr Zaliha berkata, ketibaan pelancong luar negara di kedua-dua lapangan terbang itu dipantau tanpa sebarang diskriminasi setakat ini dan sekiranya didapati tidak sihat mereka akan dihantar ke fasiliti kesihatan terdekat.

Orang ramai turut dinasihatkan agar mengambil langkah pencegahan seperti yang disarankan oleh KKM, iaitu pemakaian pelitup muka dan menerima dos penggalak selain menjaga kesihatan kendiri.

Sumber: SK

Exit mobile version