Site icon TUHAU BAMBANGAN

Hajiji sahkan 4 Ahli Parlimen Sabah sudah hantar jawapan kepada Speaker

KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan empat ahli Parlimen GRS telah menghantar jawapan kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung isu dakwaan kekosongan empat kerusi Parlimen oleh parti Bersatu.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah turut menyerahkan sepenuhnya kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengenai empat Ahli Parlimen Bersatu sama ada mereka melanggar AntiLompat Parti.

Sambil menyatakan keyakinan Johari akan membuat keputusan terbaik, Hajiji menyifatkan empat Ahli Parlimen gabungan itu tidak terlibat dengan Akta Antilompat Parti.

“Itu terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat untuk membuat keputusan. Banyak sangat spekulasi di luar macam-macam tetapi kita di dalam lebih mengetahui apa sebenarnya berlaku.

“Jadi kalau kita dengar macam-macam di luar, tetapi saya yakin Speaker akan buat keputusan terbaik kerana mereka tidak terlibat dengan Anti Lompat Parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Bencana Alam kepada penduduk di Kampung Tanjung Aru Baru pada Selasa.

Empat Ahli Parlimen itu ialah, Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, parti itu telah menghantar notis kepada Johari bagi memastikan kekosongan luar jangka di empat kerusi Parlimen terbabit berkuat kuasa.

Ronald yang juga pengerusi Bersatu Sabah berkata, permintaan telah dibuat kepada Speaker supaya kekosongan itu diumumkan kepada Jawatankuasa Pilihan Raya Umum (SPR) dalam tempoh 21 hari.

Selain itu ditanya mengenai parti baharu, Hajiji berkata pihaknya akan membuat pengumuman dalam waktu terdekat.

Exit mobile version