KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara jurulatih pasukan wanita bawah 14 tahun Melaka kerana menampar dua pemainnya.
MAVA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan menubuhkan agensi penyiasat untuk menyiasat kejadian tersebut.
“Buat masa ini jurulatih digantung daripada terlibat dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai.
“MAVA sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan sebarang penggunaan kekerasan terhadap mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, tular satu klip video memaparkan tindakan seorang lelaki dipercayai jurulatih kepada pasukan bola tampar wanita menampar dua pemain pasukan itu.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan berjumpa dengan ibubapa kepada dua pemain pasukan bola tampar bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai insiden itu.
KPM dalam kenyataan hari ini turut berkata bahawa pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya ada laporan polis dibuat mengenainya.
Pada masa sama, KPM juga akan meneruskan siasatan bagi tujuan tatatertib dan jika didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil.