Site icon TUHAU BAMBANGAN

Hajiji ingatkan rakyat agar kekal bersatu demi kemajuan Sabah

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diingatkan supaya terus bersatu dan berdiri di belakang kerajaan negeri dalam usaha merancakkan pembangunan di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Sabah akan terus makmur dan maju dengan harmoni selagi rakyatnya terus bersatu.

Beliau berkata, dasar perancangan pembangunan holistik dan komprehensif yang berterusan berjalan dengan baik seperti yang diinginkan sekali gus menampakkan kesan positif.

“Ini termasuk meningkatkan pelaburan domestik, pertumbuhan dalam pelancongan dan pelaksanaan pelbagai rancangan pembangunan,” katanya.

Hajiji berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyaksikan majlis angkat sumpah Tun Juhar Mahiruddin sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk penggal keempat dalam satu istiadat di Istana Seri Kinabalu di sini pada Ahad (1 Jan).

Beliau berkata, dengan pengurusan kewangan yang baik, hasil negeri dijangka meningkat, dengan hasil yang mencecah hingga RM6.6 bilion pada 2022.

Tambah beliau, selain inisiatif pembangunan Sabah Maju Jaya, sektor lain seperti ekonomi, sosial, perindustrian, pertanian, pelancongan, infrastruktur, modal insan, wanita, belia dan pembangunan sukan turut diberi tumpuan.

“Ia dapat dilihat dalam Bajet Negeri 2023 berjumlah RM5.138 bilion yang dibentangkan baru-baru ini,”kata Hajiji.

Pada masa sama, beliau turut menggesa penjawat awam dan sektor swasta untuk terus bekerjasama dengan negeri bagi mencapai pembangunan, keamanan dan keharmonian yang sepatutnya.

Hajiji yakin bahawa Sabah akan terus menikmati keamanan dan kemakmuran di bawah naungan Juhar, lambang perpaduan rakyat dan pemimpin pelbagai latar belakang di negeri itu.

Exit mobile version