Site icon TUHAU BAMBANGAN

Zahid fokus banjir, Fadillah fokus MA63 – Anwar

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipertanggungjawabkan untuk menguruskan bencana banjir yang dijangka akan melanda negara.

Manakala, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof pula akan fokus kepada hal ehwal Sabah dan Sarawak khususnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zahid dan Fadillah juga berperanan untuk memastikan jurang ekonomi antara rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dapat dikurangkan.

“Semua kuasa yang ada diagihkan kepada rakan-rakan yang telah diberi mandat, kita perlu siap sedia dengan bencana banjir ramalan kaji cuaca meramalkan cuaca akan lebih murung dan membebankan, jadi kita minta TPM (Ahmad Zahid) mempengerusikan jawatankuasa bencana dan adakan langlah-langkah segera memantau dan buat persiapan.

“Fadillah diberikan tugas untuk pastikan perkara bersangkut MA63 disegerakan terutama yang menimbulkan keresahan perlu segera diselesaikan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Khas pada Isnin (5 Desember).

Pada masa yang sama, Anwar turut mengumumkan kekerapan ‘cabutan khas’ nombor ramalan empat digit (4D) dikurangkan kepada 8 kali (mulai tahun depan) berbanding 22 kali setahun yang pernah diluluskan sebelum ini.

“Kita tidak ada kecenderungan mengutip dana haram. Jadi hari ini saya sebagai Menteri Kewangan membatalkan keputusan cabutan khas perjudian,” tegasnya.

Pada tahun 2021, kerajaan telah memberi kebenaran kepada syarikat berkaitan untuk mengadakan 22 ‘cabutan khas’ bagi nombor 4D tahun ini.

Exit mobile version