Site icon TUHAU BAMBANGAN

Bajet Sabah 2023: Kerajaan negeri beri bonus RM1,000 kepada penjawat awam

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah bersetuju memberikan bantuan khas kewangan setengah bulan gaji dengan kadar minima RM1,000 kepada lebih 20 ribu penjawat awam di negeri itu.

Jelas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, bantuan khas itu akan mula di bayar pada Januari tahun depan.

“Dalam Belanjawan 2023, kerajaan bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji dengan kadar minima RM1,000 kepada seramai 20,271 orang penjawat awam negeri dan akan dibayar pada Januari 2023.

“Bayaran Bantuan Khas ini diharap akan dapat meringankan bebanan perbelanjaan persekolahan anak-anak dan untuk sambutan perayaan Tahun Baru Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Jumaat.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Bantuan Khas sebanyak RM500 bagi tujuan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan yang akan dibayar pada April tahun depan.

“Dengan pemberian insentif ini saya berharap agar para penjawat awam dapat berusaha dengan cekap dan lebih gigih lagi bagi memastikan mutu perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan,” jelasnya.

Sementara itu, sejumlah RM12.83 Juta telah diperuntukkan kepada semua kementerian dan jabatan untuk Program Pembangunan Sumber Manusia.

Tambah Hajiji, sebanyak RM7.5 Juta pula diperuntukkan bagi tujuan pembiayaan biasiswa dan kos latihan pegawai-pegawai kerajaan di dalam dan di luar negeri.

Exit mobile version