Site icon TUHAU BAMBANGAN

Agong perkenan lantik Anwar Ibrahim sebagai PM Malaysia Ke-10

KUALA LUMPUR: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia Ke-10.

Menurut kenyataan media Istana Negara di sini, hari ini, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai PM dijadualkan akan berlangsung pada jam 5 petang di Istana Negara.

Pada masa yang sama, Agong turut mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.

“Hulurkan tangan antara satu sama lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta,” katanya.

Agong turut menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.

Baginda turut berpesan kepada PM bersama kerajaan baru yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk.

Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat juga diingatkan supaya menunjukkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Exit mobile version