Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRU15: GRS Gesa Shafie Apdal ‘Reset’ Semporna, Sebelum ‘Reset’ Sabah

SEMPORNA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggesa Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk ‘reset’ (betulkan semula) kawasan Semporna sebelum bercakap mengenai ‘reset’ seluruh Sabah.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri (GRS-BN) akan melihat dan menyelesaikan masalah serta isu yang dihadapi rakyat di Semporna.

Ia termasuk infrastruktur di Kampung Simunul dan Kampung Bangau-Bangau yang didakwa sudah wujud sejak sekian lama.

Jelas Hajiji, jika Shafie tidak dapat selesaikan maka pihak kerajaan GRS-BN akan mengatasi permasalahan di kawasan itu.

“Kalau kita mau reset Semporna kita mesti pilih calon daripada kerajaan.

“Rakyat Semporna mesti bijak memilih calon yang boleh bawa kemajuan kepada mereka di Semporna.

“Fikir masa depan Semporna ini, jangan kita terlalu berfikir di tempat yang sama,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Sesi Bertemu Rakyat di Semporna pada Selasa.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, perkhidmatan feri dari tanah besar Semporna ke Pulau Bum Bum akan dipertimbangkan secara serius sementara menunggu cadangan jambatan Pulau Bum Bum menjadi kenyataan.

Perbincangan akan dilakukan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk meneliti perkara tersebut.

Exit mobile version