PAPAR: Tindakan disiplin akan diambil ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang sekiranya benar beliau terlibat bagi penyertaan calon Bebas di kerusi Parlimen Tenom, Riduan Rubin ke dalam Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Bagaimanapun Pengerusi Gabungan Rkayat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan lanjut akan diambil selepas pihaknya mendapat laporan penuh berkaitan perkara itu.
“Kita akan lihat dahulu laporan lanjut, kalau dari segi gambar duduk dengan anak sahaja, kita tidak boleh ambil tindakan.
“Kita kena adil kepada semua, tetapi jika benar dia menyokong secara terang-terangan kita akan ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Bangunan Tambahan SMK St Joseph Papar, di Dewan Terbuka SMK St Joseph, Papar pada Sabtu.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah turut memaklumkan bahawa Riduan telah pun meletak jawatan sebagai Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum penamaan calon pada 5 November lalu.
“Riduan sudah meletak jawatan sebagai Ketua Armada sebelum penamaan calon. Jadi kita tidak boleh mengambil tindakan dan kita tidak boleh halang beliau untuk bertanding,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas seruan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meminta beliau untuk mengambil tindakan disiplin terhadap Datuk Rubin Balang yang didakwa melanggar syarat perjanjian GRS-BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Hajiji juga memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah memberikan peruntukan sebanyak RM600,000 bagi pembinaan bangunan tambahan di SMK St Joseph, Papar.
Dalam majlis yang sama, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanysk RM200,000 bagi membekal meja, peralatan dan kerusi untuk kegunaan warga sekolah.
“Ia bagi memastikan anak-anak kita merasa selesa ketika berada di sekolah, kerana bagi saya, ini merupakan asas penting untuk pendidikan,” katanya.