Site icon TUHAU BAMBANGAN

Chan hanya pentingkan Semenanjung, tidak peduli perasaan rakyat Sabah – Shahrun

KOTA KINABALU: Kenyataan calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foon Hin melalui satu wawancara yang disiarkan di Facebook pada Isnin lepas, menunjukkan pendiriannya yang tidak peduli dengan kepentingan rakyat Sabah sendiri.

Naib Ketua Pemuda Pusat Parti Bersatu Sabah (PBS) Shahrun Nidzam Sharoom berkata, wakil rakyat Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu hanya tunduk dengan alasan Semenanjung terutama sekali dengan ‘bos’ beliau (Parti) itu sendiri.

Jelasnya, tindakan Chan yang meminta rakyat Sabah untuk mempertimbangkan perasaan negeri-negeri di Semenanjung adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh rakyat Sabah.

“Sebagai wakil rakyat, beliau sepatutnya memelihara dan memperjuangkan hak-hak negeri dan rakyat di Sabah.

“Tetapi sebaliknya beliau langsung tidak memikirkan perasaan rakyat Sabah yang telah lama dahagakan pembangunan dan kesaksamaan ekonomi.

Mentaliti sebegini menunjukkan bahawa beliau tidak patut lagi mewakili rakyat di sini kerana tidak memberikan kepentingan kepada rakyat mahupun negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, Chan mahu rakyat Sabah memikirkan perasaan orang Selangor dan Pulau Pinang yang akan tersinggung apabila Sabah meminta 40% hak minyak.

Namun jelasnya, Chan lupa bahawa kedua-dua negeri itu jauh lebih membangung berbanding Sabah.

“Purata pendapatan isi rumah di Selangor dan Pulau Pinang adalah RM8,210 dan RM6,169 manakala Sabah hanya RM4,235.

“Dengan jurang sebesar ini, Chan lebih mementingkan perasaan mereka dari rakyat diwakilinya? Chan harus ingat bahawa perkara yang dituntut ini adalah sebahagian dari perjanjian asal pembentukan Malaysia pada 1963.

“Jika ia tidak dituntut, maka dimana kesaksamaan yang dijanjikan kepada Sabah? Sampai bila pemimpin Sabah seperti Chan tidak mahu memperjuangkan hak yang selama ini dinafikan hampir 60 tahun,” tegasnya.

Pada masa yang sama beliau turut menyifatkan Chan sebagai pemimpin yang tidak mengutamakan dan tidak menyayangi Sabah.

“Dulu janji nak pulangkan 20% hak minyak dan 50% cukai yang dikutip, tapi 22 bulan PH menjadi kerajaan, pelbagai alasan diberikan untuk tidak melunaskan janji tersebut. Chan seharusnya berasa malu dengan kegagalan tersebut.

“Amatlah memalukan dan mendukacitakan apabila seorang pemimpin Sabah sendiri menidakkan perjuangan hak-hak dan kepentingan rakyat Sabah.

“Kebersamaan negeri Sabah dalam pembentukan Malaysia amat utuh hingga kini dan tidak perlu dipertikaikan. Begitu juga apabila Sabah menuntut hak-hak yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963, juga tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak,” jelasnya.

Justeru itu, Shahrun menyeru agar rakyat Sabah memilih dengan akal fikiran yang matang dan melihat hak-hak dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah terus diperjuangkan dan dimartabatkan seperti yang sepatutnya.

Exit mobile version