Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRU15: Kempen Keterlaluan Membuat Pengundi Muda Jauhkan Diri

Secara keseluruhan, kita sedar ada calon mahupun penyokong parti yang masih mengamalkan budaya politik lama yang berteraskan kebencian, provokasi dan permainan sentimen semasa tempoh berkempen. Tindakan begini bukan sahaja merugikan calon malah apa yang membimbangkan kami di peringkat Majlis Belia Sabah ialah pengundi muda yang semakin jauh daripada demokrasi, tegas Abqaree Fawwaz Abekan.

Tindakan seperti konfrontasi dan ekstremisme dari ideologi parti bakal melemahkan pengundi muda, jawapan yang diberikan beliau susulan beberapa insiden rusuhan, penyokong parti yang mengganggu orang lain serta mengugut anggota keselamatan.

Presiden Majlis Belia Sabah itu juga menjelaskan pihak mereka sedang memantau kempen yang dilakukan pada keseluruhan 25 kawasan parlimen di Sabah samada melalui cara maya ataupun fizikal, sejak hari penamaan calon pada 5 November 2022.

Tambah beliau, calon dan jentera harus peka bahawa segala ucapan dan aktiviti mereka akan dirakam serta dikongsi di media sosial dan menjadi tular. Kebijaksanaan mereka dalam menunjukkan sifat baik di media sosial akan membuat pengundi muda tertarik kepada mereka dan begitu juga sebaliknya.

Abqaree turut menggesa mana-mana parti politik yang bertanding pada pilihan raya umum ke-15 ini membawa pendekatan yang positif dan santai bagi memenangi hati pengundi muda.

Untuk rekod, Sabah mempunyai seramai 932,541 orang pengundi muda yang berusia 18 hingga 39 tahun, dimana jumlah tersebut merupakan separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar seramai 1,689,387 orang.

Exit mobile version