Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRU15: PH adalah calon ‘underdog’, tapi kita tetap berusaha – Madius

KIULU: Pakatan Harapan (PH) memandang serius terhadap cabaran yang akan dihadapi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calonnya yang bertanding di Parlimen P170 Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, beliau tidak mahu mengambil mudah terhadap cabaran yang dihadapi pada PRU kali ini.

“Kita tahu Parlimen Tuaran merupakan kawasan bagi Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Sabah.

“Menteri Luar Bandar juga ada di sini, selain dua pembantu menteri dalam kerajaan negeri Sabah.

“Justeru, PH sebenarnya adalah calon ‘underdog’, namun kita akan berusaha untuk memastikan aspirasi rakyat untuk memerangi pelbagai krisis yang melanda negara terutamanya krisis kepimpinan dan salah guna kuasa dibanteras habis-habisan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program “walkabout” di Tamu Pekan Kiulu, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, kempen Pakatan Harapan (PH) di kawasan Parlimen Tuaran yang kini memasuki hari ketiga mendapat sambutan memberangsangkan.

Menurut Madius, sejak hari penamaan calon pada Sabtu lalu, UPKO turut menerima kehadiran ahli-ahli dari parti lain.

“Terutama sekali apabila wujud kecelaruan terhadap isu-isu berbangkit di pihak lawan.

“Dari parti-parti lain pun sudah banyak bertemu dengan kita, mudah-mudahan momentum ini akan berterusan,” katanya.

Tinjauan media juga mendapati rata-rata pengunjung dan penggerai di tamu itu gembira dengan kehadiran Madius dengan merakamkan gambar kenangan termasuk mengambil gambar swafoto.

Untuk rekod, seramai 70 borang keahlian baharu turut diserahkan oleh mantan ahli pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Azliee Mengah di PDM Sungai Damit, semalam.

PH telah memuktamadkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 sekiranya PH menang dan memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Exit mobile version