Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRU15: Ronald sah tanding atas tiket PN di Beluran

BELURAN – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sah bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Beluran di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang sebelum ini digugurkan daripada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN membuat kemunculan mengejut dengan mencabar calon yang diketengahkan gabungan tersebut.

Katanya, beliau sekali lagi menawarkan diri bagi Parlimen Beluran untuk mengangkat agenda pembangunan supaya berterusan.

“Saya akan bertanding atas tiket PN parti yang dianggotai oleh beberapa buah parti di peringkat nasional dan juga peringkat negeri.

“Ini merupakan satu platform yang terbaik bagi mengangkat aspirasi Beluran di peringkat nasional.

“GRS merupakan komponen beberapa buah parti termasuk Bersatu dan saya juga merupakan anggota ahli parti Bersatu, di peringkat negeri GRS merupakan komponen dan GRS adalah merupakan parti gabungan yang dibentuk di bawah aspirasi PN.

“Jadi parti-parti PN adalah merupakan antara parti GRS dan Bersatu yang merupakan anggota kepada PN di peringkat nasional. Jadi itu kedudukan PN dan juga GRS,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penamaan calon di Dewan serbaguna majlis daerah Beluran, di sini pada Sabtu.

Ditanya lebih lanjut, beliau memaklumkan bahawa masih sebagai anggota GRS di peringkat nasional dan GRS sebahagian daripada PN.

Exit mobile version