Site icon TUHAU BAMBANGAN

Mangsa banjir di Sabah terus meningkat kepada 944 orang

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 944 membabitkan 4 daerah yang terjejas banjir.

Manakala, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah ditutup pada jam 10 pagi tadi, iaitu PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang.

PPS di daerah Penampang yang sebelum ini telah menempatkan 9 mangsa banjir yang melibatkan 1 Ketua Isi Rumah (KIR) telah membenarkan kesemua mangsa pulang ke rumah kediaman masing-masing.

Menurut Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (JPBN) semua mangsa terdiri daripada 310 KIR.

Menurut laporan daripada JPBN Sabah juga, berlaku peningkatan bilangan mangsa di daerah paling terjejas, iaitu Tenom kepada 426 orang yang mana sebelum ini hanya 396 orang.

Sebanyak lima PPS telah dibuka bagi mangsa di daerah Tenom, iaitu Rumah Kebudayaan Kalang Kanar (29 mangsa, 7 KIR), Rumah Kebudayaan Makakagas (117 mangsa, 32 KIR), Rumah Kebudayaan Gunting (33 mangsa, 7 KIR), Rumah Kebudayaan Pagukon (214 mangsa, 78 KIR) dan Kompleks Sukan Tenom (33 mangsa, 11 KIR).

Manakala, tiga daerah lain masih kekal bilangan mangsanya, iaitu, daerah Keningau (327 mangsa, 120 KIR), Sipitang (129 mangsa, 43 KIR) dan Kunak (62 mangsa, 12 KIR).

Menurut ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), ribut petir di satu dua tempat terutama di kawasan pedalaman diramal akan berlaku pada sebelah petang dan malam di Sabah.

Exit mobile version