Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRU15: GRS-BN akan umum calon petang esok

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) dijangka akan mengumumkan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) secara serentak dalam satu Majlis Pengumuman Calon dan Penyerahan Watikah Pencalonan di Magellan Sutera, di sini, petang esok.

Berdasarkan aturcara yang dikongsikan kepada media, majlis dijadualkan akan bermula pada jam 1 tengah hari dengan kehadiran orang ramai.

Turut dimuatkan dalam aturcara tersebut adalah, ucapan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan diikuti oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga merupakan Ketua Menteri Sabah pada jam 2 petang.

Majlis kemudian disusuli dengan penyerahan watikah kepada calon PRU15 bagi kedua-dua gabungan itu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata bahawa pengumuman calon GRS-BN dijangka akan berlangung pada 1 atau 2 November ini, selepas semua rundingan berhubung pembahagian kerusi dimuktamadkan.

Setakat ini, belum diketahui berapa agihan kerusi diberikan kepada kedua-dua gabungan itu berikutan belum ada pendedahan mengenainya.

Bagaimanapun, Bung sebelum ini menyatakan daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, kedua-dua gabungan itu akan menerima pembahagian kerusi secara adil.

Maknanya, kedua-dua gabungan itu masing-masing mungkin akan mendapat sama ada 12 atau 13 kerusi untuk diagihkan kepada parti komponen masing-masing.

GRS mengandungi komponen dari parti BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Daripada komponen itu, BERSATU dijangka mendapat sekurang-kurangnya enam atau tujuh kerusi, antaranya Sipitang, Kudat, Beluran, Libaran, Lahad Datu dan Batu Sapi, diikuti PBS (tiga) di Kota Marudu, Tuaran dan Kota Kinabalu, manakala SAPP di Tawau dan Sepanggar serta STAR di Keningau dan Ranau.

Hanya USNO dijangka tidak bertanding, namun keputusan muktamad bakal diketahui esok.

Bagi BN pula, selain tiga kerusi disandangnya iaitu Kinabatangan, Kimanis (UMNO) dan Pensiangan (Parti Bersatu Rakyat Sabah – PBRS), kerusi lain yang dijangka diberikan kepada gabungan itu ialah Putatan, Papar, Beaufort, Kota Belud, Kalabakan, Semporna dan Tenom (UMNO) selain Penampang (PBRS) dan Sandakan (MCA).

Bagaimanapun, kerusi muktamad yang bakal ditandingi parti kedua-dua gabungan itu dijangka diketahui esok atau pada hari penamaan calon PRU15, Sabtu ini.

Exit mobile version