Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRU15: UPKO Penampang Restu Ewon Benedick Tanding Kerusi Parlimen Penampang

PENAMPANG: Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang menyokong keputusan parti untuk Datuk Ewon Benedick bertanding di parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan datang.

Timbalan presidennya, Datuk Donald Peter Mojuntin berkata, beliau sendiri terlibat secara langsung dalam keputusan itu dan meletakkan Ewon sebagai calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di kerusi parlimen itu Penampang.

Jelasnya, UPKO percaya era politik sekarang memerlukan pemimpin yang segar dan lebih dinamik serta berkeupayaan.

“Kami menganggap Datuk Ewon sebagai pemimpin yang berpotensi tinggi membawa perjuangan Sabah dan rakyatnya yang berbilang kaum ke peringkat lebih tinggi.

“Apatah lagi sebagai presiden yang termuda dalam UPKO dan juga antara Presiden parti yang termuda di seluruh Malaysia dengan usianya yang baru 39 tahun.

“Sebenarnya Datuk Ewon tidak asing kepada Penampang kerana mendiang bapanya, Benedict Yong berasal dari Kampung Penampang Proper. Datuk Ewon membesar di sana dan bersekolah di SM St. Michael,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Donald selaku Ketua Bahagian UPKO Penampang berkata, ahli-ahli UPKO Penampang amat bangga dengan bakal presiden parti itu yang telah memulakan kepimpinan politiknya sejak berusia 20-an sebagai Ketua Komulakan UPKO.

“Ketika menjawat Ketua Komulakan UPKO sejak 2005, Ewon kerap masuk kampung-kampung di Penampang bagi membantu wakil-wakil rakyat UPKO di sini.

“Beliau membesar dalam UPKO sebagai pemimpin berkaliber, berprinsip, berintegriti, matang dan sangat setia. Beliau melambangkan transformasi UPKO dalam era politik yang baru.

“Penerimaannya sebagai pemimpin teratas parti memperlihatkan keyakinan UPKO terhadap kepimpinan Datuk Ewon dan pemimpin-pemimpin muda. Justeru, kami menerima pencalonan beliau dengan hati terbuka,” jelasnya.

Donald menegaskan bahawa PRU-15 amat penting untuk menukar Kerajaan Persekutuan dan memilih Perdana Menteri yang baharu.

“Dalam konteks nasional, hanya gabungan Pakatan Harapan (PH) yang berdaya maju dan mempunyai kekuatan sebagai alternatif kepada kerajaan BN atau PN yang gagal dalam pentadbiran negara.

“Kami percaya pengundi-pengundi di Penampang faham objektif ini. Saya berdoa dan berharap rakyat Penampang, lebih-lebih lagi generasi muda akan memberi sokongan dan undi kepada calon Pakatan Harapan, Datuk Ewon dalam usaha kita untuk menubuh Kerajaan Persekutuan baru yang sekular, inklusif, telus dan memperjuangkan reformasi untuk kebaikan negara dan rakyat,” tegasnya.

Sementara itu, Ewon yang juga Naib Presiden UPKO disahkan bakal menyandang jawatan presiden selepas Datuk Seri Panglima Madius Tangau memberi laluan kepadanya.

Donald berkata, peralihan jawatan Presiden UPKO itu adalah sebahagian daripada agenda penjenamaan semula atau ‘rebranding’ dan agenda ‘succession’ parti.

“Begitu juga dengan keputusan untuk mencalonkan Datuk Ewon di Penampang. Kawasan P. 174 Penampang merupakan satu kawasan yang penting dan dinamik kepada UPKO.

“UPKO era ini dilahirkan di Penampang pada tahun 1994 dan Presiden pertama UPKO ialah Tan Sri Bernard Dompok juga dari Penampang. UPKO percaya era politik kini memerlukan pemimpin yang segar dan lebih dinamik serta berkeupayan seperti Ewon,” katanya.

Exit mobile version