Site icon TUHAU BAMBANGAN

20 anggota tentera ditahan, terlibat rompakan Laut di Sabah

KOTA KINABALU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan laporan berkaitan 20 anggota tentera disiasat bagi membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes rompakan berkumpulan di Semporna, Sabah.

Kes itu berlaku dalam dua insiden masing-masing pada 15 dan 18 Ogos lalu.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ia tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu melibatkan sebarang jenayah atau pelanggaran disipilin terutama di kalangan warga ATM.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa dan akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam membantu siasatan untuk proses tindakan selanjutnya.,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, ketegasan ini amat penting kerana ia boleh mencemarkan imej ATM sebagai sebuah organiasi yang mendukung konsep integriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Negara.

Beliau mengulas mengenai laporan tentang penahanan 20 anggota tentera kerana disyaki terbabit dalam dua kes rompakan di laut di perairan Pulau Siamil, Semporna, Sabah.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamzah Zainudin berkata, semua suspek ditahan susulan dua laporan diterima pihak berkuasa pada 15 dan 18 Ogos lalu di Perairan Pulau Siamil.

“Terdapat dua kes rompakan di laut yang disyaki dilakukan oleh anggota keselamatan pada Ogos lalu di perairan Pulau Siamil, Semporna, Sabah.

“Ia bersabit Bum Bum repot 1462/2022, kejadian pada 15 Ogos 2022 dan Bum Bum repot 1463/2022, kejadian pada 18 Ogos 2022,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang meminta kerajaan menyatakan secara terperinci kejadian rompakan berkumpulan didakwa dilakukan anggota keselamatan negara pada Ogos yang lalu di perairan Pulau Siamil.

Kedua-dua kes disiasat mengikut 395 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan rompakan berkumpulan.

“Semua suspek sudah dijamin pada 25 September lalu dan kes masih dalam siasatan.” katanya.

Sumber: Defence Security Asia

Exit mobile version