Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kerajaan Sabah sambut baik Pembentangan Bajet 2023

KOTA KINABALU: Belanjawan Negara 2023 yang dibentangkan pada Jumaat adalah konsisten dengan komitmen Kerajaan Persekutuan bagi memastikan tiada yang terpinggir dalam arus perdana membangun negara.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia merupakan kesinambungan momentum pemulihan negara daripada pandemik yang kini dalam fasa endemik dan kerajaan Negeri amat mengalu-alukan perkara tersebut sebagai bajet inklusif.

Hajiji turut mengalu-alukan peruntukan RM6.3 bilion untuk Sabah pada tahun depan.

“Ia adalah peningkatan sebanyak 20.45 peratus berbanding RM5.2 bilion yang diperuntukkan kepada Sabah dalam Belanjawan Negara tahun.

Sabah mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk teruskan memberi penekanan kepada pembangunan negeri,” katanya.

Hajiji berkata demikian dalam ulasannya selepas menonton siaran langsung pembentangan belanjawan negara oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seru Zafrul Tengku Abdul Aziz di Menara Kinabalu pada Jumaat.

Pada masa yang sama, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan keselamatan Sabah dengan menaik taraf Esscom di Lahad Datu serta menyediakan aset keselamatan tambahan dan pembinaan hospital lapangan pada tahun depan.

Kerajaan persekutuan turut memperuntukkan RM1.2 bilion bagi membaiki sekolah usang termasuk 123 projek di Sabah.

RM430 juta lagi diperuntukkan untuk membina 5 sekolah baharu di seluruh negara yang turut merangkumi 1 sekolah di Sabah, iaitu SMK Nabalu di Kiulu pada tahun hadapan.

Hajiji juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memastikan peruntukan pada Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah yang dijangka siap pada tahun 2024.

Turut disebut pembangunan Bandar Sempadan termasuk pembinaan jalan yang menghubungkan Kalabakan ke Simanggaris di Indonesia.

Tengku Zafrul juga menyatakan bahawa RM250 juta akan diperuntukkan untuk membangunkan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar tahun hadapan.

“Sabah juga mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membantu meringankan kesusahan rakyat yang boleh dilihat melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) melibatkan lebih RM10 bilion tahun depan,” katanya.

“Saya mengalu-alukan subsidi elektrik sehingga RM40 kepada isi rumah dalam senarai e-kasih,” katanya.

Sabah juga mengalu-alukan pelbagai inisiatif dalam sektor pelancongan, yang diharapkan dapat dilaksana bagi membantu meningkatkan pendapatan sektor itu di negeri ini pada tahun depan, katanya.

Exit mobile version