Site icon TUHAU BAMBANGAN

Madius tidak pertahankan jawatan Presiden UPKO

PENAMPANG: Presiden parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UPKO bagi penggal yang akan datang.

Jelasnya, UPKO perlu menyusun strategi baharu untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat dalam keadaan politik yang tidak menentu.

“Oleh itu, UPKO akan mengetengahkan barisan kepimpinan baharu dengan persepktif segar dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip asas perjuangan parti.

“Keputusan itu telah dipersetujui dan mencapai kata sepakat untuk dilaksana setelah menilai tahap kesedian pemimpin baru yang dipilih untuk menggalas tanggungjawab ini.

“Dengan ini, saya mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UPKO bagi penggal yang akan datang ini.” katanya dalam sidang media khas UPKO di Penampang.

Beliau turut menamakan Presiden UPKO baharu, iaitu Datuk Ewon Benedick yang merupakan Naib Presidennya dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian.

“Saya yakin dan percaya kepimpinan baru yang akan bakal diterajui oleh Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick, akan memastikan UPKO terus fokus dan komited sebagai parti tempatan yang memperjuangkan hal ehwal politik dan kepentingan rakyat.

“Lebih-lebih lagi dalam menempuhi senario politik negara yang mana keterlibatan lebih ramai pengundi baru dan muda melalui pendaftaran automatik undi-18.” jelasnya.

Dalam masa yang sama, barisan pimpinan tertinggi parti itu sebulat suara untuk memberi kepercayaan kepada Madius untuk memegang jawatan Presiden Kehormat UPKO yang baharu.

Madius turut mengumumkan bahawa beliau akan bertanding dan mempertahankan kerusi Parlimen P.170 Tuaran pada pilihanraya umum ke-15 (PRU-15).

Exit mobile version