Site icon TUHAU BAMBANGAN

Madius sokong jadikan Pairin Kitingan sebagai TYT Sabah

PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyokong cadangan untuk menjadikan Huguan Siou Masyarakat (KDM), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah (TYT) yang seterusnya.

Jelasnya, beliau secara peribadi menyokong idea itu kerana tidak ada dalam konstitusi Sabah yang menyatakan kelayakan bagi jawatan TYT adalah perlu beragama Islam.

“Secara peribadi, saya menyokong idea itu, kerana di dalam Perlembagaan Negeri Sabah, semua pun layak, dia layak, Tan Sri Pairin selaku Huguon Siou layak dilantik sebagai TYT.

“Tidak ada dalam perlembagaan yang membuatkan beliau hilang kelayakan ataupun tidak layak.

“Dan untuk menjadi pengerusi agama Islam Negeri Sabah, Perlembagaan Negeri Sabah telah menetapkan bahawa ketua agama Islam di Sabah ialah Yang Pertuan Agong. Jadi dia tidak ada masalah sebenarnya.” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendapatnya berkaitan cadangan itu yang dibuat oleh Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) melalui setiausaha Agungnya, Suman Yasambun.

Terdahulu, Suman berkata, Pairin yang merupakan bekas Ketua Menteri adalah seorang pemimpin dalam kalangan anak negeri dan boleh mewakili Sabah sepenuhnya sebagai ketua negeri.

Tambah Suman, perkara itu tidak ada kena mengena dengan kaum atau agama yang mungkin bakal mencetuskan perdebatan di kalangan rakyat.

Exit mobile version