Site icon TUHAU BAMBANGAN

Bomba Sabah kenal pasti 520 kawasan ‘hotspot’, siap siaga hadapi tengkujuh

KOTA KINABALU: Sebanyak 520 kawasan ‘hotspot’ telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berlaku banjir di seluruh Sabah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, Abdul Razak Muda berkata, pihaknya sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk berdepan dengan segala kemungkinam yang akan berlaku akibat bencana alam.

Katanya, pihak Bomba turut mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Jelasnya, persiapan awal yang dilakukan itu turut memberi fokus terhadap usaha menyelaras kordinasi di antara agensi-agensi yang terlibat.

“Dari pihak jabatan bomba sendiri dari segi persiapan anggota telah mengenal pasti anggota pasukan bomba sukarela dan juga anggota pasukan bomba bantuan yg turut akan membantu pasukan bomba sepenuh masa.

“Kita mempunyai lebih kurang 1,085 keanggotaan di seluruh negeri Sabah dan kita ada lebih kurang 234 pasukan bomba bantuan.

“Manakala kita ada 45 pasukan bomba sukarela yang melibatkan lebih kurang 900 orang yang turut sama membantu jabatan apabila kita menghadapi sebarang kemungkinan bencana terutama banjir.” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Tambah beliau, setakat ini pihaknya mempunyai lebih kurang 56 buah bot yang tersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

“Disamping bot, kita juga ada beberapa utiliti untuk tujuan mengangkut dan memindahkan mangsa, kita ada 15 buah lori dan 50 buah kenderaan utiliti.

“Disamping itu kita juga telah mempersiapkan anggota dengan ilmu-ilmu berkaitan pengendalian bot, ilmu membuat rawatan awal kepada mangsa banjir jika ada mangsa lemas dan sebagainya.

“Saya rasa akan menghadkan cuti apabila tiba masanya nanti,” jelasnya.

Razak berkata, pihaknya juga telah mendapat lebih kurang 7 buah ‘drone’ daripada pelbagai syarikat yang membantu jabatan bomba.

Drone tersebut akan digunakan dalam misi pemantauan ke kawasan-kawasan yang sukar untuk dicapai anggota ketika berlaku sesuatu bencana terutama banjir.

Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), jangkaan Monsun Timur Laut akan berlaku pada hujung September tahun 2022 hingga Januari tahun hadapan.

Namun, pada bulan September 2022, telah berlaku pertukaran Monsun daripada Barat Daya kepada Monsun Timur Laut yang akan menyebabkan ribut petir dan angin kencang di beberapa tempat di Sabah.

Exit mobile version