Site icon TUHAU BAMBANGAN

KKM komited tingkatkan fasiliti dan akses kesihatan di Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) komited dalam usaha membantu meningkatkan faisliti dan akses kepada kesihatan di negeri Sabah.

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, beliau telah pun mengumumkan perancangan pihak KKM bersama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam tempoh rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13 yang mungkin mengambil masa 8 hingga 10 tahun untuk menaik taraf dua hospital di negeri itu.

“Sebab itu saya telah umumkan beberapa perancangan atau pun langkah-langkah yang akan diambil oleh Kementerian Kesihatan dan juga kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri dalam tempoh masa rancangan Malaysia ke-12 dan juga rancangan Malaysia ke-13 yang akan datang.

“Pelaksanaan itu akan mengambil masa mungkin 8 hingga 10 tahun untuk kita menaik taraf dua hospital iaitu Hospital Duchess of Kent dengan Hospital Tawau agar ia setaraf dari segi perkhidmatan kepakaran yang ada di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jelajah ANMS – Sabah Maju Jaya (SMJ) bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Sabah International Convention Center (SICC) Kota Kinabalu pada Sabtu.

Khairy berkata, pihaknya juga akan menaik taraf beberapa hospital lain agar kepakaran dapat ditambah di hospital tersebut sekaligus mengenal pasti dua lagi hospital yang akan di naik taraf menjadi hospital pakar major.

“Di hospital Queen II kita akan tambah kepakaran supaya dapat mengurangkan tekanan kepada hospital Queen Elizabeth I.

“Kita juga telah mengenal pasti Hospital Keningau dan juga Lahad Datu untuk di naik taraf menjadi hospital pakar major dan kita juga telah mengenal pasti 3 hospital di Kota Marudu, Tuaran dan Beaufort yang sekarang ini tidak ada kepakaran untuk menjadi hospital pakar minor.

“Ini kita buat sebab kita tahu, untuk mendapat rawatan diperingkat pakar, rakyat Sabah kena datang jauh ke Kota Kinabalu, ada juga yang pergi ke Kuala Lumpur dan sebagainya.

Sebab itu, lebih baik kita bawa kepakaran itu di kawasan yang tidak ada kepakaran.” tegas beliau.

Sementara itu, Khairy turut berkata bahawa pihaknya sudah mengenal pasti 326 klinik yang daif dan kurang daif yang memerlukan kerja-kerja naik taraf dan permohonan telah pun dibuat kepada Menteri Kewangan.

Khairy bertegas untuk mengambil serius usaha tersebut dan usaha itu juga telah pun mendapat sokongan dari Perdana Menteri ketika perancangan dibentangkan dalam mesyuarat khas MA63 pada Khamis lepas.

Exit mobile version