Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kadar pengangguran akan mendadak naik jika ‘Full Lockdown’dilaksanakan

Gambar Hiasan

MOMENTUM pemulihan ekonomi negara akan terjejas jika kerajaan melaksanakan sekatan dan kawalan pergerakan secara penuh bermula 25 Mei hingga 7 Jun 2021 seperti yang berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sekatan dan kawalan pergerakan secara penuh akan menyebabkan kadar pengangguran meningkat dengan mendadak, bilangan isi rumah miskin akan bertambah, prestasi syarikat kecil dan besar akan terjejas dan kedudukan fiskal akan berada dalam keadaan yang lebih mencabar.

Beliau berkata, ketika libat urus dengan wakil industri, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta persatuan penjaja pada 22 dan 23 Mei 2021, sebahagian besar daripada mereka bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKP 3.0.

“Kerajaan perlu sentiasa mengimbangkan antara nyawa dan kehidupan. Keputusan untuk melaksanakan PKP 3.0 dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat adalah tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya mengumumkan prestasi Indeks Pelopor (IP) bagi Mac 2021, semalam.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Pemulihan ekonomi negara berada dalam landasan kukuh dengan IP pada Mac lalu mencatatkan pertumbuhan 17.3 peratus berbanding masing-masing 8.2 peratus pada Januari dan 8.6 peratus pada Februari 2021.

Pertumbuhan tahunan tertinggi direkodkan susulan penguncupan ekonomi yang ketara pada Mac 2020 susulan daripada pembendungan penularan wabak.

Mustapa berkata, prestasi yang baik itu adalah selaras dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada Mac 2021 sebanyak 6.0 peratus.

“Kerajaan menjangkakan bahawa unjuran pertumbuhan 2021 sebanyak 6.0 hingga 7.5 peratus dapat dicapai sekiranya krisis kesihatan ini dapat distabilkan selepas berakhirnya PKP 3.0,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan program vaksinasi yang lebih pantas penting dalam usaha untuk membendung penularan pandemik di negara ini dan memastikan ekonomi negara terus berkembang.

Beliau berkata, berdasarkan petunjuk yang ada bagi April, momentum pertumbuhan ekonomi kekal berada dalam landasan dan dijangka mencatatkan prestasi yang baik pada bulan berkenaan.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, pihaknya menjangkakan kesan pelaksanaan PKP 3.0 dengan SOP yang lebih ketat akan terus merangsang pertumbuhan ekonomi memandangkan aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi.

Beliau berkata, usaha kerajaan menggalakkan penggunaan pendigitalan terutama membabitkan PKS juga akan memberikan kesan pelaksanaan PKP 3.0 jauh berbeza berbanding PKP 1.0. – HMetro

Exit mobile version