Site icon TUHAU BAMBANGAN

Motosikal dirempuh Toyota Vios di Kolombong, Jalan Tuaran

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan selepas dilanggar sebuah kereta jenis sedan di Lampu Isyarat Kolombong, Jalan Tuaran Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Kejadian memaparkan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios tidak berhenti untuk beri laluan dan terus memandu laju di lampu isyarat tersebut sebelum merempuh penunggang motosikal yang sedang melintasi lampu isyarat berkenaan.

Kejadian yang ditangkap melalui kamera perakam video kereta (dashcam) oleh salah seorang pengguna jalan raya berdurasi 26 saat menjadi tular di media sosial seterusnya menjadi perhatian orang ramai.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Kalsom Idris berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.20 pagi telah membabitkan sebuah kenderaan jenis sedan dan sebuah motosikal dinaiki mangsa.

“Hasil siasatan mendapati semasa kejadian kereta jenis Toyota Vios dalam perjalanan dari arah Inanam menuju Kota Kinabalu.

“Semasa berada di lokasi kejadian kereta terbabit telah melanggar sebuah motosikal yang datan dari arah Kota Kinabalu melalui Jalan Kelombong.

“Penunggang motosikal itu kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth II bagi tujuan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa kini dilaporkan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalam 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Exit mobile version