Site icon TUHAU BAMBANGAN

Ada ‘U turn’ sementara dibina di lokasi pembinaan Pan Borneo – Bung

KOTA KINABALU: Kesemua pusingan ‘U’ secara sementara telah dibina di lokasi pembinaan jalan Pan Borneo di kawasan Sepanggar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tuduhan mengatakan kerajaan tidak menyediakan kemudahan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan boleh mengelirukan rakyat, selain menyukarkan kerja-kerja pembinaan di lokasi dimaksudkan.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya memberitahu, beliau menerima aduan yang dibuat daripada pihak pembangkang yang mendakwa laluan pembinaan Pan Borneo di Sepanggar hingga ke Bulatan Berunggis, Sepanggar tidak disediakan pusingan ‘U’.

“Sebenarnya, terdapat pusingan ‘U’ secara sementara telah dibina di lokasi yang dimaksudkan dan tuduhan laluan sepanjang 12 kilometer tanpa pusingan ‘U’ itu adalah salah dan tidak berasas.

“Mereka ini tidak faham dan cuba mengelirukan rakyat, ” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Sambil mengakui banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh kontraktor pelaksana projek, namun mereka (pelaksana projek) tidak mengabaikan soal keselamatan dan keselesaan pengguna meski pun disaat puncak.

“Saya berharap orang ramai bersabar semasa tempoh pembinaan ini dan sentiasa mematuhi papan tanda amaran semasa memandu di kawasan pembinaan,” tambah Bung.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Penasihat Komuniti Cina Sepanggar semalam mendedahkan terdapat kesukaran pengguna lalu lintas untuk menggunakan laluan alternatif di lokasi sepanjang seksyen Sepanggar ke Bulatan Berunggis, ekoran tidak mempunyai pusingan ‘U’.

Jelas kenyataan itu lagi, ketiadaan kemudahan terbabit sekaligus menyebabkan gangguan trafik yang teruk terutamanya pada waktu puncak dan meminta kerajaan berbuat sesuatu untuk menyelesaikan permasalahan berkenaan.

Sumber: Utusan Borneo

Exit mobile version