SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah sudah menghantar pulang seramai 1,519 pendatang tanpa izin (PTI) pelbagai warganegara ke negara asal mereka sepajang tahun ini.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, semua PTI terbabit dihantar pulang menerusi laluan udara, laut dan darat.
“Bermula awal tahun ini sehingga Ogos 2022, sebanyak 67 kali program penghantaran pulang PTI berjaya dilaksanakan oleh JIM Sabah.
“Dalam tempoh itu, seramai 332 dihantar melalui udara, 1,186 jalan laut dan seorang menggunakan laluan darat,” katanya semasa meninjau penhantaran pulang rakyat Filipina di Pelabuhan Sandakan, di sini semalam.
Menurutnya, sebelum ini proses penghantaran pulang terpaksa ditangguhkan susulan berlakunya pandemik COVID-19.
“Kita terpaksa tangguhkan proses penghantaran pulang PTI yang ditahan di semua Depot Imigresen di Sabah kerana negara asal mereka memberikan alasan sedang berhadapan ancaman COVID-19,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, penghantaran kali ini membabitkan seramai 750 PTI warga Filipina yang akan dihantar melalui jalan laut di pelabuhan ini.
“Semua mereka adalah tahanan dari Depot Imigresen Tawau, Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu sejak tahun 2020.
“Mereka terdiri seramai 638 lelaki, 81 wanita dan 31 kanak-kanak berumur satu hingga 88 tahun,” katanya.
Khairul berkata ketika ini terdapat seramai 6,200 PTI yang ditahan di semua depot di negeri ini dan program penghantaran pulang akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Sumber : Utusan Borneo