Site icon TUHAU BAMBANGAN

Masyarakat Tiong Hua berperanan penting dalam pembangunan ekonomi Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Masyarakat Tiong Hua memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sambil merakamkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh masyarakat Tiong Hua kepada Sabah selama ini, beliau berkata peranan masyarakat itu dalam pembangunan ekonomi negeri memang tidak dapat dinafikan.

“Dalam aspek pembangunan dan menjana ekonomi, kita memberi peluang kepada semua rakyat termasuk masyarakat Cina. Tidak boleh dinafikan masyarakat Cina memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi di negeri ini.

“Masyarakat Tionghua terkenal sebagai orang yang bijak dalam berniaga dan peranan mereka dalam ekonomi amat penting.“Kerajaan hari ini juga amat prihatin dan sentiasa bersikap terbuka termasuk dalam memberi peluang kepada setiap pelaburan yang datang untuk pembangunan ekonomi serta peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan sambutan Pesta Tanglung sempena Perayaan Kuih Bulan di Lido Square, Penampang di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus membela nasib rakyat di Sabah tanpa mengira suku kaum termasuk kepentingan masyarakat Cina akan terus dijaga oleh kerajaan negeri hari ini.

“Kita juga mahu masyarakat Tiong Hua terus memberi sokongan kepada kerajaan hari ini kerana kita akan melakukan yang terbaik untuk pembangunan negeri serta rakyatnya,” jelas beliau.

Mengenai majlis itu, Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah untuk meraikan aktiviti kebudayaan masing- masing.

Beliau berkata kebebasan untuk meraikan kebudayaan masing-masing menjadikan Sabah sebagai negeri yang unik serta harmoni.

“Keharmonian dalam kepelbagaian ini perlu kita teruskan. Kita bebas untuk meraikan perayaan masing-masing dan inilah yang menjadikan negeri kita unik.

“Seperti pada malam ini, masyarakat Tionghua di sini (Luyang) meraikan Pesta Tanglung dan kita sama-sama memeriahkannya. Suasana seperti ini perlu diteruskan sampai bila-bila dan kita bersatu sebagai rakyat Malaysia di Sabah.

“Saya berasa amat gembira kerana hadir pada malam ini dan saya melhat ramai masyarakat Tionghua datang untuk meraikan Pesta Tanglung,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Joachim Gunsalam, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, dan Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee.

Exit mobile version