KOTA KINABALU: Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Kumpulan Yayasan Sabah telah mengadakan Majlis Penutup Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) Peringkat Negeri Sabah.
Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia 2022 (JPKM) merupakan inisiatif & projek khas YAB Perdana Menteri dalam membuka peluang kepada akses pendidikan tinggi negara kepada seluruh masyarakat terutama penduduk di kawasan pedalaman ataupun luar bandar.
Menurut Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Dr.Hj. Mohd Arifin Bin Hj. Mohd Arif, dengan adanya program seperti Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia ini dapat meningkatkan daya tarikan ramai, sekali gus menjadikan bidang pendidikan pemangkin utama dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berkemahiran tinggi.
“Pelaksanaan program ini yang telah bermula di Tawau dan kini penutupnya di Kota Kinabalu, Sabah telah memberikan satu semangat baharu kepada para pelajar dari golongan kurang berkemampuan dalam meneruskan perjuangan mereka untuk melanjutkan pelajaran bagi menimba ilmu dan mengubah destini nasib mereka.
“Sehingga ke hari ini lebih 6,285 anak-anak Sabah telah dibantu untuk ke Menara Gading.”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia di Sabah International Convention Center (SICC) Kota Kinabalu pada Rabu.
Manakala Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali pula berkata agenda pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat akan meliputi bantuan khas pendidikan kepada golongan yang memerlukan.
“Hal ini adalah untuk memastikan semua anak jati Sabah mempunyai akses dan tidak dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan.
“Kita juga tidak mahu anak-anak yang layak ini tidak dibantu dan diberi peluang untuk meneruskan pelajaran mereka. Mereka inilah yang akan menjadi generasi peneraju legasi masa depan negara.
“Harapan saya agar anda semua tidak leka dan terus berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, tingkatkan prestasi dan tekadkan iltizam untuk terus maju sehingga mampu bersaing di persada antarabangsa.” ujar beliau.
PRIHATIN melihat JPKM yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri ini akan memberikan manfaat dengan menyediakan peluang kedua bagi anak-anak Keluarga Malaysia dalam mendapatkan tempat di Institusi Pengajian Tinggi yang terpilih supaya mereka dapat mengubah destini masa hadapan yang lebih cemerlang.